Announcement | Pengumuman

Perhatian..SUDAH KAH TUAN/PUAN MEMPERBAHARUI KEAHLIAN UNTUK TAHUN INI 2012-2013?

wibiya widget

Tuesday, March 15, 2011

"Islamik"kah Perbankan Islamik...?

Apa yang membakar lagi semangat dan meneguhkan lagi pendirian saya ini (pembiayaan bank Islam haram) adalah apabila mendengar penceramah pertama dipersidangan tersebut Dr. Umar Vadillio dengan lantangnya menyatakan bahawa perbankan islamik itu "double" haram. Diikuti pula oleh Sheikh Imran Hosein yang bersependapat sedemikian. Pada hari kedua pula Dr. Aziuddin dari KUIS pula menyatakan perbankan islam "triple" haram. Di sini saya ingin berkongsi maklumat dan mengajak rakan-rakan merenung kembali berfikir samada islamik kah perbankan islamik itu dengan amalan-amalan perniagaan yang mereka lakukan dan juga mengapa tokoh-tokoh di persidangan riba' ini menyatakan sedemikian.

Di sini saya ingin berkongsi maklumat dan mengajak rakan-rakan merenung kembali berfikir samada islamikkah perbankan islamik itu dengan amalan-amalan perniagaan yang mereka lakukan dan juga mengapa tokoh-tokoh di persidangan riba' ini menyatakan sedemikian.

Dr. Umar Vadillio dengan lantangnya menyatakan perbankan Islam adalah dua kali (double) haram dan patut ditutup, kerana apa? Kerana menurut beliau perbankan Islam telah menghalalkan apa yang haram iaitu mengenakan riba' dan mengaburinya dengan proses jual beli. Apa yang perbankan Islam lakukan adalah menukarkan nama sahaja ke atas urus niaga tetapi sebenarnya ianya adalah aktiviti yang sama iaitu riba' dan penindasan.

Saya ingin menarik perhatian rakan-rakan sekalian kepada satu hadis Nabi SAW yang menyatakan bahawa di akhir zaman di mana pengaruh dajjal telah bermaharaja lela, apa yang kelihatan amat berbeza dari realiti sebenar, baginda mengumpamakannya dengan air sungai yang sejuk dan juga api, apa yang kelihatan sejuk seperti air sungai adalah api yang panas dan sebaliknya, jadi mungkin apa yang dilihat suatu yang positif dari perbankan Islam ini adalah sebenarnya api yang sedang membakar umat Islam yang terpengaruh dengannya? Tidak cukup hanya dengan mata fizikal dan ilmu dunia sahaja untuk melihat realiti sebenar di akhir zaman ini, perlu ada usaha lain untuk melihatnya.

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya” Surah Ali-Imran 3:92

Nilai wang yang semakin menyusut disebabkan wang yang dikeluarkan tanpa sandaran Perbankan Islam Juga "Mencipta" Wang Tanpa Sandaran. Sebelum ke persidangan riba' yang lepas saya menganggap bahawa hanya wang deposit penyimpan di dalam perbankan Islamik sahaja yang akan dipinjamkan kepada peminjam, contohnya jika jumlah keseluruhan deposit penyimpan adalah 1 juta ringgit, maka hanya sejumah itu sahaja yang akan digunakan untuk membiayai pembelian untuk peminjam, akan tetapi apabila mendengar penjelasan dari pembentangan kertas kerja oleh beberapa panel di persidangan ini, maka tiadalah lagi keraguan akan ketidak Islamiknya perbankan Islam itu pada diri saya. Di dalam buku terbaru Real Money karangan Prof Ahamed Kameel Mydin Meera dari UIA juga jelas membangkitkan perihal aktiviti perbankan Islam ini yang mana jelas bersekongkol dengan perbankan konvensional merosakkan keseluruhan masyarakat, hanya sebahagian kecil sahaja yang mendapat manafaat darinya iaitu pekerja dan pemegang saham bank tersebut (dan juga kerajaan dari cukai yang diperolehi).

Asas perbankan konvensional dan Islamik adalah sama iaitu mencipta wang baru menerusi pinjaman melalui sistem pecahan simpanan (fractional reserve sistem), perbezaannya adalah perbankan Islam menggunakan wang yang baru dicipta itu tadi untuk tujuan yang kononnya berlandaskan "shariah", majoritinya adalah melalui konsep ijarah yang mana pinjaman diberikan menerusi proses membelikan sesuatu aset bagi pihak peminjam dan menjualkannya kembali dengan harga yang berlipat kali ganda.

Lihat contoh berikut, katakan terdapat 2 rumah yang sama harganya katakanlah RM300,000 dibiayai dengan pinjaman dan pembiayaan, iaitu satu secara konvensional dan satu lagi secara "Islamik" untuk tempoh 20 tahun, katakanlah kadar faedah adalah 6% yang mana digunakan terus oleh bank konvensional tetapi bagi perbankan Islamik ianya juga akan digunakan sebagai asas perkiraan harga rumah yang akan dijual semula kepada peminjam. Kedua-dua bank Islamik dan konvensional akan "mencipta" wang sebanyak RM300,000 melalui kira-kira perakaunan menggunakan sistem pecahan simpanan (fractional reserve system) dan wang yang baru dicipta ini bukanlah deposit dari penyimpan. Bank konvensional akan meminjamkan wang tersebut manakala Islamik bank pula akan membeli rumah dan menjualkannya semula kepada peminjam.

Bayaran bulanan bagi kedua-duanya adalah RM2,149.29 (untuk memudahkan perkiraan, selalunya bayaran bulanan perbankan islamik lebih mahal dari konvensional) untuk selama 20 tahun. Perbankan Islam akan meletakkan RM515,830.59 sebagai harga jualan rumah tersebut kepada peminjam. Perbezaan sebanyak RM215,830.59 dikira sebagai bunga bagi perbankan konvensional dan keuntungan bagi perbankan islamik. Kedua-dua bank mencipta RM300,000 dengan hanya kira-kira perakunan akan tetapi keuntungan bagi pihak perbankan islamik telah pun tersedia. Supaya anda lebih memahaminya lagi mari kita lihat baki pinjaman selepas 10 tahun.

Menerusi perbankan konvensional baki selepas 10 tahun adalah sebanyak RM193,594.77 manakala bagi pembiayaan islamik pula adalah RM257,914.80. Disini dapat dilihat akan perbezaan baki yang mana bagi perbankan islamik lebih banyak dari perbankan konvensional sebanyak RM64,320.03. Dan jika peminjam mahu menjelaskan pembiayaan tersebut pada masa tersebut, peminjam perbankan terpaksa membayar harga yang lebih kecuali mendapat ihsan diskaun dari pihak bank. Mungkin sebab itu jugalah hampir kesemua perbankan konvensional berlumba-lumba membuka bahagian perbankan islamik kerana mereka tahu ianya lebih memberi dan menjamin keuntungan. Mungkin ada yang berkata sekurang-kurangnya jika BLR naik peminjam perbankan islamik akan terjamin, ini tidak seperti yang disangkakan sebenarnya kerana keuntungan perbankan islamik sudah pun terjamin jika kita lihat dari perkiraan diatas. Perbankan islamik sebenarnya lebih menjaga kebajikan mereka sendiri berbanding peminjam dan ini yang gagal dilihat oleh kebanyakan masyarakat. [SATU BENTUK PENINDASAN KEPADA PEMBELI]

Masalah terbesar sekarang ini sebenarnya lebih terletak kepada bagaimana wang pembiayaan itu yang "dicipta" "out of thin air" iaitu atas angin dan tidak berdasarkan suatu yang punyai nilai, hanya bersandarkan kepada janji peminjam untuk membayar balik. Jika RM1000 dipinjamkan pada kadar 10% setahun, selepas setahun RM100 yang dikenakan dianggap riba', bagaimana pula dengan RM1000 yang dicipta tanpa bersandarkan suatu yang bernilai dan secara automatiknya memberikan kuasa membeli tanpa risiko 10 kali lebih banyak dari riba' itu sendiri,bukankah itu riba' yang lebih besar? Ini yang wajib difikirkan semula oleh seluruh masyarakat lebih-lebih lagi oleh cerdik pandai islam yang menyokong perbankan islamik itu sendiri.

Pada pendapat saya, syariahnya perbankan islam itu hanya dilihat dari sudut hubungan antara pelabur dan juga pihak bank sahaja, manakala kebajikan pihak peminjam mahupun masyarakat samada sedikit ataupun tidak langsung diambil kira. Tidak kiralah samada bank islam membeli rumah dan menjualnya semula dengan harga yang lebih tinggi kepada peminjam ataupun bank konvensional meletakkan pembayaran pinjaman beserta faedah, dalam kedua-dua kes jumlah wang yang terpaksa dipulangkan kembali kepada bank oleh peminjam akan senantiasa tidak mencukupi kerana ianya melebihi jumlah wang yang dikeluarkan pada asalnya. Akibat dari ini masyarakat terpaksa bersaing sesama sendiri untuk mengumpul sejumlah wang yang mungkin bagi membayar balik pinjaman, contohnya jika 100 ribu dipinjamkan dan 110 ribu terpaksa dipulangkan, dari mana datangnya 10 ribu itu tadi? Ianya tidak wujud kecuali lebih banyak lagi pinjaman diberikan yang mana melaluinya wang baru akan dicipta. Apa terjadi apabila masyarakat terpaksa bersaing untuk mengaut sebanyak mana wang yang mungkin untuk membayar balik hutang yang berganda banyaknya dari jumlah asal? Masyarakat akan menjadi lebih pentingkan diri sendiri, kedua ibu bapa terpaksa keluar bekerja, anak-anak semakin terabai dan pelbagai lagi masaalah sosial.

Pastinya anda seorang yang buta matanya jika tidak nampak keadaan ini berlaku kepada masyarakat kita hari ini? Bandingkan kemajuan masyarakat islam Malaysia khasnya dan sedunia amnya selama berbelas tahun perbankan islamik ini bertapak, adakah masyarakat islam semakin maju? Ya semakin maju meninggalkan Islam dan bukan sebaliknya.

Bagaimana pula dengan inflasi yang mengurangkan kuasa membeli masyarakat dengan penciptaan wang tanpa sandaran yang dilakukan oleh perbankan islamik ini? Bukankah itu satu penganiayaan dan penindasan kepada semua golongan masyarakat baik Islam atau tidak dan golongan manakah yang paling teruk merasakan bahana inflasi itu? Tidak lain tidak bukan mereka yang kurang bernasib baik terutamanya golongan miskin. Bagi yang berjawatan, berpangkat, punyai kerja tetap dan naik gaji saban tahun, itu tidak jadi masaalah. Sebab itulah boleh saya katakan kebanyakan mereka yang beriya-iya menyokong perbankan islamik ini adalah muslim dari golongan sebegini. Mereka tidak dapat melihat kesan sebenar tindakan institusi perbankan baik islamik atau konvensional ini kepada keseluruhan masyarakat. Maaf saya katakan mereka ini seolah-olah sudah dibutakan oleh keselesaan mereka sendiri.

Source: http://www.muslimconsumer.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=209:qislamikqkah-perbankan-islamik&catid=61:berita-terkini&Itemid=245

1 comment:

  1. Salam..Terima ksih ats maklumat berkenaan dgn peRbankan ISLAM..Namun begitu hanya kritikan dan ulasan negatif yang diberikan tanpa sebarang cadangan atau alternatif lain. Diharap dapat kongsikan bersama alternatif kepada pembiayaan bank Islam kerana tanpa pinjaman, umat Islam spt saya tiada peluang utk memiliki rumah/kereta pada zaman ini.

    ReplyDelete