Announcement | Pengumuman

Perhatian..SUDAH KAH TUAN/PUAN MEMPERBAHARUI KEAHLIAN UNTUK TAHUN INI 2012-2013?

wibiya widget

Thursday, April 23, 2009

Serang Ala Ninja di Jalan Kiara BSD

From Harian Metro

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Salman Hamat
am@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Dua remaja lelaki bertindak kejam apabila sanggup menetak seorang suri rumah selepas merampas rantai emasnya yang dihadiahkan ibu mentua di Jalan Kiara, Bandar Seri Damansara di sini.

Lebih ganas lagi, penjenayah terbabit yang menunggang motosikal menyerang mangsa di depan dua anaknya berusia 11 dan lapan tahun. Dalam kejadian jam 2.45 petang Isnin lalu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ema, 37, didatangi dua remaja menunggang motosikal ketika dia bersama dua anaknya itu bersembang dengan seorang jiran di hadapan kediamannya.

Katanya, seorang daripada dua remaja berkenaan tiba-tiba mengacukan sebilah parang panjang yang disembunyikan di belakang badan.“Jiran saya itu yang terperanjat sempat melarikan diri sejurus melihat mereka mengeluarkan senjata. Anak saya turut menjerit kerana ketakutan.“Remaja itu kemudian mengugut saya menyerahkan rantai pusaka yang dipakai,” katanya.

Bimbang dia dan anaknya dicederakan, Ema terpaksa menyerahkan rantai berkenaan kepada remaja terbabit.“Suami saya yang ketika itu sedang berehat di rumah segera keluar apabila terdengar jeritan anak kami yang ketakutan,” katanya.

Suaminya kemudian cuba menenangkan penjenayah terbabit supaya tidak bertindak mencederakan isteri dan anaknya. Namun, remaja yang memegang parang berkenaan bertindak luar jangkaan apabila menghayunkannya ke arah suami saya.

“Saya dan suami cuba mengelak tapi dalam keadaan panik, parang terbabit terkena lengan kanan saya. Melihat saya cedera, remaja itu melarikan diri,” katanya.Kejadian itu menyebabkan lengan kanan mangsa luka parah dan darah tidak henti-henti mengalir hingga menyebabkan Ema hampir pitam.

Dia dihantar ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan kecemasan bagi memberhentikan pendarahan luka berkenaan. Suami mangsa dikenali sebagai Zul, 40, berkata luka tetakan sepanjang sembilan sentimeter itu turut menyebabkan urat tangan Ema putus. Menurutnya, kesan kecederaan parah itu mengakibatkan tiga jari kanan isterinya itu tidak dapat berfungsi seperti biasa.

No comments:

Post a Comment