Announcement | Pengumuman

Perhatian..SUDAH KAH TUAN/PUAN MEMPERBAHARUI KEAHLIAN UNTUK TAHUN INI 2012-2013?

wibiya widget

Monday, April 12, 2010

Kembali Kepada Al-Quran | Itulah Penyelesaiannya


Maznah Daud

Pembuangan bayi adalah satu femonena yang sungguh-sungguh kejam dan menjijikkan. Ia membuatkan kita rasa marah, geram, benci dan sakit hati tak terkata!

Saya percaya perbuatan keji itu tidak dilakukan secara suka-suka. Tidak ada seorang pun daripada kalangan mereka yang membuang (baca: membunuh) bayi-bayi tak berdosa itu yang berhasrat dan bercita-cita untuk menjadi seorang pembunuh!

Percayalah! Sebagai manusia biasa mereka juga bencikan pembunuhan, mereka tidak ingin menjadi seorang pembunuh.

Tetapi mengapa mereka membunuh?

Tidak lain dan tidak bukan, puncanya adalah
ZINA.


Allah subhanahu wataala telah memberi amaran keras dalam kitab suci yang kita bangga-banggakan. Hampir setiap tahun qari dan qariah negara kita menggondol hadiah dan gelaran johan membaca al- Quran di peringkat antarabangsa. Namun apakah kita juga menjadi juara di dalam mempersenda dan menolak hukum yang terkandung di dalam al-Quran?

Firman Allah subhanahu wataala bermaksud:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Al-Isra’ 17: 32)

Di tempat lain pula Allah subhanahu wataala berfirman (maksudnya):

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan daripada orang-orang yang beriman.”

(An-Nur 24: 2)

Perhatikan ayat di atas! Allah telah mengingatkan kita dengan:

Pertama: janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum agama Allah.

Kedua: jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Atas alasan kasihan, kononnya hukuman itu kejam maka penzina tidak disebat. Kemudian apabila lahir bayi-bayi yang tidak berdosa, mereka dibuang merata-rata tak kira di dalam sungai, di atas darat, di tepi jalan, di dalam hutan, di dalam tandas dan di mana-mana di atas muka bumi Allah yang luas ini.

Siapa yang lebih wajar dikasihani? Penzina atau bayi-bayi yang tidak berdosa itu?

Semua akan berkata, bayi-bayi yang tidak berdosa itulah yang patut dikasihani. Maka sebat penzina adalah tanda simpati dan kasihannya kita kepada mereka dan kepada penzina itu sendiri!

Sebat bukan untuk membalas dendam, tetapi untuk mendidik dan menyelamatkan umat daripada seksa dan bencana lebih parah yang menanti pada masa akan datang.

Bayangkan sekiranya gejala ini tidak diatasi, tidak ada rencana serta langkah-langkah yang drastik untuk mencegahnya, bayangkan beberapa tahun lagi apabila bayi-bayi yang dibuang itu (yang sempat diselamatkan) membesar di bawah jagaan keluarga angkat atau rumah-rumah kebajikan. Pada masa yang sama si ibu tadi berzina lagi, beranak dan membuang lagi anak itu. Kemudian anak itu dibela pula oleh ibu angkat yang lain, sedang kedua-dua ibu angkat itu tidak tahu siapakah ibu kepada anak-anak angkat mereka. Kebetulan kedua-dua anak itu berlainan jantina, bertemulah mereka pada satu ketika, berkenalan lalu jatuh cinta dan berkahwin!

Itu hanya satu kemungkinan. Dan tidak mustahil kemungkinan-kemungkian seperti berkahwin dengan ayah (Nota: Lelaki yang menyebabkan kelahiran anak itu tetap merupakan ayah dari segi biologinya walaupun tidak sah di sisi undang-undang. Lantaran itu sebahagian ulama berpendapat perkahwinan itu tetap haram), ibu, bapa saudara atau ibu saudara, anak saudara dan lain-lain. Perlu diingatkan bahawa hubungan kekeluargaan dengan ahli keluarga ibu adalah sama dengan anak yang sah taraf.

Oleh yang demikian, sudah sampai masanya kita kembali kepada al-Quran dengan bersungguh-sungguh. Ambil pengajaran, saranan, hukum-hakam yang telah ditetapkan tanpa soal, tanpa was-was. Sifat mukmin adalah dengar dan taat, tunduk dan patuh, terima dan laksana ketentuan Dia Yang Maha Esa.

“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu antara mereka, hanyalah mereka berkata: Kami dengar dan kami taat; dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.”

(An-Nur 24: 51)

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

(Al-Ahzab 33: 36)

Apakah hanya hukuman sebat itu saja cara paling berkesan untuk mengawal jenayah zina? Insya-Allah perbincangannya akan menyusul nanti.

Sumber : MalaysiaHarmoni

No comments:

Post a Comment