Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS
Utusan Online - Bicara Agama (15.04.10)
Didikan agama yang mantap mampu mengelak remaja terlibat dalam kegiatan tidak sihat. - Gambar hiasan
---------------------------------------------------------------
BUDAK-budak zaman sekarang ni degil dan pelik-pelik. Yang ada mak ayah dan keluarga, dibelakangkan sebab cinta dan impian. Yang ada peluang hendak ke sekolah, disia-siakan dan tidak belajar bersungguh-sungguh.
"Kadang-kadang yang menyusahkan lagi buat kerja tak senonoh, merokok, ponteng sekolah, mencuri dan lain-lain, sedangkan masih bersekolah.. Itu belum campur lagi yang terlanjur, kemudian anak dibuang tanpa belas kasihan.
"Apa nak jadi dengan remaja dan masyarakat kita hari ini.." keluh Pak Samad panjang pada anaknya, Arif selepas membaca akhbar.
"Remaja sekarang memang tidak tahu bersyukur dengan nikmat yang Allah beri. Allah sudah kurniakan kita dengan bumi yang aman damai, kita ada bantuan yang banyak, akses pendidikan dan komunikasi bukan sedikit, apa lagi yang mereka mahu.
"Zaman ayah dulu tak ada kemudahan macam ini. Tapi sekurang-kurangnya kami tahu menjaga maruah diri dan keluarga.. ini tidak, makin maju manusia, makin kebelakang pula cara berfikir " tambah Pak Samad lagi, sengaja menguji anaknya.
Bukan Salah Kemajuan
Arif mengangguk-angguk. Dia turut berkongsi keresahan yang sama dengan ayahnya. Namun dia tidak setuju bahawa kemajuan itu yang menyebabkan manusia menjadi lebih teruk.
"Tapi ayah, kita tidak boleh salahkan kemajuan dengan tingkah laku manusia. Manusia itu sendiri yang mencipta kemajuan, lalu manusia juga mestilah bertanggungjawab untuk mengadabkan manusia.
"Tanpa kemajuan, perkembangan sains dan teknologi, manusia akan berada dalam keadaan statik dan di takuk lama. Bukankah memang fitrah manusia inginkan sesuatu yang lebih baik daripada yang dimiliki?
"Teknologi dan kemajuan seharusnya menambah baik kualiti kehidupan manusia... tetapi yang menjadi masalahnya apabila ia digunakan untuk tujuan yang tidak baik..." balas Arif.
"Mungkin pada zaman ayah, wujud perkara-perkara seperti ini, tetapi tidak banyak. Malah budaya, adab dan adat resam masih lagi tebal dan kebal di dalam diri remaja.
"Cuba ayah tengok remaja kita pada hari ini, sifat-sifat itu makin terhakis. Remaja tidak tahu hormat orang tua, apatah kasih pada yang lebih muda. Remaja hidup terumbang-ambing tanpa tujuan hidup, bukan salah kemajuan. Saya percaya jika ada didikan yang sempurna daripada keluarga dan masyarakat, anak-anak akan dewasa dengan matang, berketerampilan dan punyai matlamat hidup yang lurus..." ulas Arif lagi.
Pak Samad tersenyum dengan hujah balas anaknya. Mereka memang suka berbincang mengenai isu-isu semasa supaya fikiran lebih terbuka dan dapat bertukar-tukar idea.
Dia teringat kata-kata Saidina Umar Al-Khattab yang masyhur tentang mendidik anak iaitu "bermainlah dengan anak kamu selama 7 tahun, umur 7 ke 14 tahun masa untuk mendisiplinkan anak dan apabila berusia 14 ke 21 tahun, berkawanlah dengan mereka".
Remaja juga punyai buah fikiran yang bernas jika dilatih dan dikembangkan dengan cara yang betul, fikirnya.
Didik anak ikut zamannya
"Betul juga kata kamu Arif. Ayah faham zaman kamu tak sama dengan zaman ayah. Bahkan Saidina Umar juga mengatakan bahawa kita mesti mendidik anak mengikut zaman mereka. Tetapi itulah yang sering ibu bapa lupa.
"Ibu bapa masa kini lebih sibuk dengan kerjaya dan bertungkus lumus mencari rezeki, tetapi tidak pula berusaha bersungguh-sungguh dalam membentuk anak-anak menjadi manusia berguna," Pak Samad memberi pendapat.
"Ya ayah, tidak semua ibu bapa berfikiran begitu. Pendapat dan suara anak-anak tidak didengar, apatah lagi dengan kehendak emosi mereka.
"Remaja yang dibesarkan sebegitu akan dibesarkan menjadi seorang yang kuat memberontak apabila ada sedikit kebebasan. Ramai kawan-kawan saya yang mengeluh ibu bapa mereka tidak mahu mendengar pendapat mereka," tambah Arif.
"Benar, nak. Ayah amat kesal sekiranya ada ibu bapa yang meletakkan bulat-bulat kesalahan pada orang lain apabila anak-anak mereka melakukan kesalahan atau kerosakan.
"Sewajarnya ibu bapa patut bermuhasabah dan merenung kembali cara didikan dan pengawalan terhadap anak-anak mereka. Iya, keadaan semakin mencabar dengan kemajuan teknologi, tetapi dengan adanya kekebalan iman serta ingatan daripada ibu bapa, insya-Allah anak-anak tidak akan menyimpang dari landasan yang benar..." ujar Pak Samad optimis.
"Ilmu pengetahuan pada masa kini memang mudah diperolehi, tetapi manusia tidak mahu mengamalkannya. Justeru, ibu bapa perlu sentiasa berusaha untuk mencari jalan terbaik untuk mendidik anak-anak.
"Didikan anak-anak juga mestilah berterusan walaupun anak sudah besar dan berumah tangga," Pak Samad memberi pandangan.
"Ayah juga merasakan bahawa didikan akan berkesan sekiranya diamalkan dan dialami sendiri melalui pengalaman.
"Ibu bapa mestilah menjadi contoh yang baik kepada anak-anak. Bukan setakat menyuruh mereka berbuat baik, tetapi mestilah menjadi sumber dan tauladan yang baik kepada anak-anak," kata Pak Samad yang juga seorang bekas guru.
"Tetapi saya lihat ada juga penyakit baru dalam masyarakat kita ayah," ujar Arif.
Pak Samad tersenyum. Dia sudah tahu apa yang bakal dikatakan anaknya.
Penyakit baru
"Penyakit itu adalah tidak mampu atau tidak mahu mengatakan 'tidak'. Baru-baru ini saya terbaca dalam akhbar, seorang ahli psikologi negara ini berkata ada kecenderungan bahawa ibu bapa sekarang sudah tidak tegas dalam mendidik anak-anak.
"Apa sahaja kemahuan anak-anak diikuti tanpa berfikir panjang. Jika tidak dituruti, bimbang anak-anak merajuk dan melakukan perbuatan yang bukan-bukan. Sebab itulah anak-anak remaja sekarang semakin 'besar kepala' dengan ibu bapa mereka. Apa pendapat ayah?" tanya Arif kepada ayahnya.
"Ayah merasakan bahawa setiap orang ada hak terhadap orang lain. Ibu bapa ada hak yang perlu ditunaikan terhadap anak-anak, begitu juga sebaliknya. Jadi masing-masing diberi amanah untuk menjaga tanggungjawab itu.
"Salah satu tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak adalah untuk memberitahu anak-anak yang mana benar dan mana yang silap, yang mana yang hak dan yang mana yang batil.
"Ibu bapa mesti tegas dalam prinsip ini supaya anak-anak faham akan batas sesuatu perkara. Tegas tidak semestinya keras dan marah, tetapi mestilah dengan cara yang berhikmah dan bijaksana," balas Pak Samad.
"Betul tu ayah. Dalam masa yang sama, remaja seperti saya juga mestilah sama-sama menghormati prinsip ibu ayah. Mereka tidak seharusnya mengugut dan melakukan perkara-perkara yang tidak baik semata-mata untuk menarik perhatian ibu bapa mengikut kemahuan mereka.
"Perbuatan-perbuatan tersebut bukan sahaja memalukan diri sendiri, tetapi keluarga juga yang menanggung akibatnya. Saya sentiasa sedih dengan nasib kawan-kawan seusia saya yang kurang bernasib baik, tetapi saya juga sedar bahawa kita sendirilah yang mesti berusaha merubah diri kita menjadi lebih baik.." kata Arif.
Pak Samad tersenyum melihat anaknya. Pintanya anak itu mengotakan apa yang dikatakannya dan mendewasa dalam sejahtera.
Kesimpulan
Kemajuan seharusnya menjadikan manusia lebih bijak menilai mana yang baik dan buruk. Namun kemajuan yang dikecapi tanpa asas ilmu dan didikan agama yang kukuh boleh menggoyahkan institusi keluarga dan masyarakat.
Dalam hal ini, cabaran dalam mengendalikan kemajuan sebenarnya adalah mengendalikan modal insan agar kemajuan yang dikecapi seiring dengan keseimbangan pemikiran, emosi dan spiritual.
No comments:
Post a Comment