Announcement | Pengumuman

Perhatian..SUDAH KAH TUAN/PUAN MEMPERBAHARUI KEAHLIAN UNTUK TAHUN INI 2012-2013?

wibiya widget

Thursday, March 18, 2010

Amalan Ibu Bapa Memberi Kesan Kepada Anak-anak

Syaikh Musthafa al-Adawi hafizahullah berkata:

Seseorang anak yang melihat ayahnya selalu berzikir, mengucapkan tahlil, tahmid, tasbih, dan takbir nescaya akan menirunya untuk mengucapkannya.

Begitulah juga, seseorang anak yang diutus orang tuanya di malam hari untuk memberi sedekah kepada orang-orang miskin di rumah-rumah mereka tanpa pengetahuan orang lain dia akan memiliki sikap yang berbeza dengan seorang anak yang diminta oleh orang tuanya untuk keluar membeli rokok dan barang-barang yang memabukkan.

Seseorang anak yang melihat ayahnya berpuasa di setiap hari Isnin dan Khamis, serta melaksanakan solat Juma’at dan berjama’ah tidak akan sama dengan anak-anak yang melihat kebiasaan ayahnya yang gemar melepak di gerai-gerai, pusat-pusat hiburan, dan panggung wayang.

Apabila seseorang ayah selalu melakukan kebaikan kepada orang tuanya, mendoakan, dan memohonkan ampun untuk mereka, sentiasa berusaha mengambil tahu khabar mereka, mengambil hati mereka, memenuhi keperluan mereka, memperbanyakkan doa-doa kebaikan untuk mereka, serta menziarahi ke kubur mereka apabila telah meninggal, bersedekah untuk mereka, serta tetap menjalinkan hubungan baik dengan sahabat-sahabat mereka dan memberi hadiah kepada orang-orang yang biasa diberi hadiah oleh mereka dahulu, maka anak-anak yang melihat akhlak ayahnya seperti ini dengan izin Allah akan mengikutinya (mengambil contoh) dan juga akan memohonkan keampunan untuk orang tuanya.

Seseorang anak yang dididik dengan solat tidak akan sama dengan anak yang dibiasakan menonton filem, mendengar muzik, dan permainan bola sepak.

Seseorang anak yang melihat ayahnya melaksanakan solat di malam hari, menangis kerana takutkan Allah, membaca al-Qur’an, sudah tentu mereka akan berfikir:

“Mengapa ayah menangis?”

“Mengapa ayah solat?”

“Untuk apa ayah meninggalkan (bangun dari) tidur lalu pergi berwudhu’ dengan air yang sejuk di tengah-tengah malam seperti ini?”

“Untuk apa ayah hanya mengambil waktu yang sedikit untuk tidurnya dan memperbanyakkan berdoa dengan penuh kekhusyukkan, penuh harap, dan diliputi dengan perasaan penuh cemas?”

Setiap pertanyaan ini akan bermain-main di benak fikirannya dan akan sentiasa hadir di dalam perasaan ingin tahunya. Seterusnya ia mampu melahirkan perasaan ingin untuk mengikutinya.

Demikian juga dengan seorang anak perempuan yang melihat ibunya berhijab dari lelaki yang bukan mahramnya, menutup aurat di hadapan mereka, menutupi diri dengan perasaan malu, bersikap tenang, dan sentiasa menjaga kesucian diri. Anak tersebut akan menekuni dan menyelami akhlak tersebut dari ibunya.

Berbeza dengan seseorang anak perempuan yang selalu melihat ibunya bersolek di hadapan para lelaki bukan mahram, bersalaman dengan mereka, ikhtilat (bercampur-gaul dengan lelaki bukan mahram), serta melepak dengan mereka, saling bergelak-tawa, dan apatah lagi saling menari berdansa. Sudah tentu ia akan mempengaruhi jiwa dan naluri anak tersebut untuk mengikutinya.

Dari itu, takutlah kepada Allah, wahai ayah dan ibu di dalam membina jati diri anak-anak anda. Jadikanlah diri anda sebagai contoh teladan yang baik, berhiaslah dengan akhlak yang baik, tabiat yang mulia, dan sebelum semua itu berlaku - berpegang teguhlah terlebih dahulu dengan agama ini dan cintailah Allah dan Rasul-Nya.

Dinukil & Di-Alih Bahasa Sahabat Nawawi (http://an-nawawi.blogspot.com) dari:

Syaikh Musthafa al-Adawi, Tarbiyatul Abna’- Bagaimana Nabi Mendidik Anak, m/s. 47-49, Terbitan/terjemahan Media Hidayah, Cet. 3.


ILMU DI DAHULUKAN..
AMAL DI UTAMAKAN..
IKHLAS MENYEMPURNAKAN

No comments:

Post a Comment