Announcement | Pengumuman

Perhatian..SUDAH KAH TUAN/PUAN MEMPERBAHARUI KEAHLIAN UNTUK TAHUN INI 2012-2013?

wibiya widget

Monday, July 13, 2009

Tindakan pemaju, MBPJ diselar

sedutan dari Utusan Malaysia 13.07.09

DAMANSARA 12 Julai - 'Katakan Tidak Pada Jalan Penghubung Antara Sutera Damansara Dengan Bandar Sri Damansara!'Begitulah suara hati hampir 60,000 penduduk Bandar Sri Damansara (BSD) bagi membantah tindakan pemaju di Sutera Damansara yang mengambil jalan mudah dengan membina jalan penghubung ke BSD untuk menghubungkan Sutera Damansara dengan Lebuh Raya Damansara- Puchong (LDP).

Ini bukanlah kali pertama kejadian seperti ini dihadapi oleh penduduk.

Kira-kira 10 tahun lalu, satu projek yang hampir sama iaitu pembinaan jalan penghubung juga hampir dibina di kawasan ini.

Projek tersebut dihentikan selepas dibantah oleh penduduk BSD atas sebab-sebab keselamatan, kesesakan lalu lintas dan sebagainya.

Nampaknya penduduk sekali lagi berhadapan dengan masalah yang sama. Kali ini berpunca daripada pemaju di Sutera Damansara yang mengambil kesempatan di atas kemudahan di BSD.

Yusni Mohd. Som, 44 yang telah menghuni BSD sejak 1995 menyelar tindakan pemaju berkenaan.

"Jalan Persiaran Meranti dan Perdana ini dibina khusus untuk kegunaan penduduk di BSD.

"Adalah tidak wajar pemaju dari kawasan luar BSD menggunakan jalan di BSD sebagai laluan keluar-masuk mereka," katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya lagi, jika jalan penghubung tersebut dibuka, ini akan mengancam keselamatan penduduk terutamanya pelajar-pelajar di tujuh buah sekolah sekitar BSD.

"Kebanyakan daripada pelajar berjalan kaki ke sekolah. Jika bilangan kenderaan semakin bertambah, maka risiko untuk berlaku kemalangan turut meningkat.

"Apatah lagi, jalan di kedua-dua persiaran ini hanya mempunyai sedikit lampu isyarat trafik yang membolehkan kenderaan bergerak laju.

"Minggu lalu, berlaku kemalangan serius yang melibatkan pelajar sekolah. Bayangkan jika jumlah kenderaan bertambah, bagaimana tahap keselamatan anak-anak kami," tambahnya.

Kenyataan ini disokong oleh Zulkifli Hassan, 48. Menurutnya, ketika ini banyak berlaku aktiviti lumba kereta dan motosikal di kawasan berkenaan.

"Boleh dikatakan hampir setiap bulan pasti akan ada kesan kemalangan di jalan- jalan ini seperti serpihan cermin kereta, tiang lampu yang bengkok dan lain-lain lagi.

"Pembinaan jalan penghubung dari Sutera Damansara tersebut akan menjadi akses kepada beberapa kawasan seperti Damansara Damai, Saujana Damansara dan Prima Damansara yang dianggarkan mempunyai penduduk hampir 80,000 orang yang akan menggunakan jalan di BSD sebagai laluan ke LDP.

"Kami tidak mahu keharmonian penduduk di BSD ini terancam akibat pembukaan jalan penghubung berkenaan,"katanya.

Selain itu, Zulkifli juga hairan kenapa pihak pemaju di Sutera Damansara tidak membina laluan sendiri ke LDP menerusi Sungai Buloh.

"Jarak yang jauh itu bukan satu alasan yang boleh diterima. Paling penting jalan Persiaran Meranti dan Perdana ini bukan dibina untuk kemudahan mereka (pemaju) tetapi untuk penduduk di sini," tambahnya lagi.

Sementara itu, Khairi Mohd. Saad, 44, berkata tindakan penduduk BSD ini bukan menghalang kemudahan untuk penduduk di luar BSD.

"Kami hanya memperjuangkan hak kami sebagai penduduk di sini.

"Tidak wajar kami menerima kesan buruk seperti ancaman keselamatan, pencemaran alam dan kesesakan jalan akibat pembukaan jalan tersebut.

"Jika berlaku perkara seperti itu, kami sebagai penduduk disini akan menanggung segala kerugian termasuklah berhadapan dengan jalan-jalan rosak.

"Menyentuh mengenai jenayah, jika berlaku jenayah di sini, pihak polis hanya perlu menutup dua laluan keluar-masuk dan ini akan memudahkan penjenayah diberkas.

"Tetapi dengan pembukaan jalan tersebut, penjenayah dengan mudah meloloskan diri kerana terdapat banyak laluan keluar melalui jalan berkenaan yang boleh digunakan selepas melakukan jenayah," tegasnya.

Sebenarnya banyak lagi implikasi negatif bakal wujud akibat pembukaan jalan tersebut. Sememangnya pemaju di Sutera Damansara perlu membuat laluan keluar sendiri ke LDP dan tidak mengganggu penduduk BSD.

Ini bukan atas dasar membela nasib penduduk BSD, tetapi lebih kepada mempersoalkan tanggungjawab pemaju terhadap bakal penduduk di Sutera Damansara sendiri.

Ini kerana masalah-masalah berbangkit akan turut dihadapi oleh semua pihak termasuklah mereka yang bakal menghuni Sutera Damansara.

Manakan tidak, baru sahaja hendak tinggal di rumah yang selesa, penduduk menghadapi masalah sukar hendak keluar dan masuk ke kawasan perumahan akibat tindakan pemaju mereka yang tidak menyediakan kemudahan jalan raya yang baik.

Penduduk juga mempersoalkan tindakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meluluskan projek berkenaan tanpa merujuk kepada penduduk.

Mereka menegaskan, bukankah setiap pembangunan yang berhampiran atau melibatkan penduduk setempat, MBPJ perlu mendapatkan persetujuan penduduk?

No comments:

Post a Comment